“OP Selamat” yang dilancarkan pada 10 Ogos 2012 bagi menggantikan “Ops Sikap” secara rasionalnya adalah lebih menyeluruh. Elemen-elemen tabiat dan sikap yang mempengaruhi atau mendorong keselamatan nyawa dan harta benda telah dirangkumkan sekali. Perkataan SELAMAT bermaksud kita terpelihara atau terhindar daripada bencana dan bahaya. Ini juga adalah bersesuaian dengan tujuan operasi ini untuk mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan sepanjang musim perayaan, tidak kira di jalan raya mahupun di rumah.
OBJEKTIF:
Objektif utama operasi ini adalah untuk memberi kesedaran serta menanam nilai-nilai murni kepada pengguna jalan raya, supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa memandu, di samping meninggalkan rumah dalam keadaan selamat apabila pulang ke kampung halaman masing-masing. Ini amat bertepatan dengan tema OP Selamat kali ini iaitu, “Rumah selamat, selamat sampai ke destinasi”.
Untuk tujuan ini, pihak polis telah menetapkan kehadiran polis atau omnipresence melalui Konsep Ronda dan Statik di 150 lokasi-lokasi “black spot”, iaitu kawasan yang selalu berlaku kemalangan. Konsep ini melibatkan pendekatan menggunakan kanopi di R&R dan Lay-by sebagai tempat pertemuan petugas-petugas polis trafik dan lain-lain agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Pada masa yang sama, kanopi di kawasan R&R dan Lay-by ini boleh juga dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna-pengguna jalan raya yang menghadapi masalah semasa dalam perjalanan.
Pendekatan “Ronda dan Statik” ini dijangka akan memberi impak positif kepada kempen keselamatan jalan raya melalui pemantauan lalu lintas. Ianya juga dijangka akan lebih memantapkan keberkesanan polis melalui kehadiran dan peranan polis trafik secara lebih intensif di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.
OP Selamat ini juga menekankan kepada keselamatan harta-benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari bagi tujuan balik ke kampung halaman. Ketua Polis Daerah telah diarahkan agar memastikan rondaan cegah jenayah dilakukan dengan terancang dan strategik untuk mencegah jenayah terutamanya pecah rumah.
PENGLIBATAN AGENSI LAIN:
Dalam pelaksanaan OP Selamat, PDRM menggembleng usaha bersepadu melalui Emergency Response Team (ERT) yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Persatuan Bulan Sabit Merah, PLUS, MIROS, konsesi-konsesi Lebuh Raya, pihak media, serta agensi-agensi lain seperti Prince Court Medical Centre yang turut bersama membantu PDRM dalam OP Selamat ini. Kerjasama ‘multi-agency’ ini adalah untuk satu matlamat, iaitu meningkatkan keberkesanan kempen untuk mengurangkan kemalangan jalan raya dan kerugian harta benda.
Sebarang permasalahan semasa perjalanan sila hubungi Hotline Op Selamat di 1-800-88-1412 atau Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-2266 3356/59.
No comments:
Post a Comment