Powered By Blogger

Monday, 21 May 2012

Mengubah Destini Anak Bangsa

MDAB bantu lebih 3,000 pelajar miskin masuk UiTM
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
ALOR SETAR - Program Jelajah Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) Universiti Teknologi Mara (UitM) yang diadakan sejak 9 Mei lepas, telah mengenal pasti lebih 3,000 pelajar miskin untuk diterima masuk mengikuti program khas universiti itu.

Naib Canselor UiTM Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, universiti itu menyediakan 5,000 tempat menerusi program MDAB, yang bertujuan memberi peluang kedua kepada pelajar miskin yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam.

"Setakat ini, UiTM telah menjelajah di tujuh negeri dan bertemu hampir 25,000 pelajar serta mengenal pasti lebih 3,000 pelajar miskin untuk diterima masuk mengikuti program khas itu," katanya kepada pemberita pada majlis MDAB di Pusat Khidmat Adun Bakar Bata hari ini.
  
Program cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ini akan berakhir 6 Jun. Penjelajahan ke seluruh negara ini singgah di Kedah hari ini dan esok.
  
Sahol Hamid yakin peluang kedua ini akan membolehkan pelajar tercicir itu berjaya, dan mereka ditempatkan di bawah Program Khas Pra Perdagangan dan Pra Sains bagi memantapkan mata pelajaran yang lemah sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
  
Seorang pelajar, Mohammad Fahmi Abdul Jalil, 18, berkata dia amat bersyukur kerana terpilih melanjutkan pelajaran dalam program Pra Perdagangan di UiTM Merbok.
  
"Diterima masuk ke UiTM memberi sinar baru kepada saya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti yang diidamkan dan keluarga selama ini," katanya yang gagal dalam permohonan ke insitusi pengajian tinggi sebelum ini.
  
Sementara itu, di Kuala Kedah, seramai 40 pelajar diterima masuk ke UiTM bagi pengambilan Julai selepas permohonan mereka ditolak Unit Pusat Universiti (UPU).
  
Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah Datuk Latt Shariman Abdullah berkata beliau gembira kerana semua pelajar dari sekitar Kuala Kedah itu, yang tercicir daripada pengambilan kemasukan ke universiti, diterima UiTM.
  
"Sebagai bekas alumni UiTM, saya rasa gembira kerana program ini telah memberi peluang kedua kepada anak-anak di sini melanjutkan pelajaran ke peringkat Pra Diploma dan Diploma," katanya.
  
Pada majlis itu, Umno Bahagian Kuala Kedah turut memberi sumbangan RM100 kepada setiap pelajar yang ditawarkan ke UiTM melalui program MDAB bagi membuat persediaan sebelum memasuki institusi berkenaan. - Bernama

p/s : Pada mereka yang dapat melanjutkan pelajaran hargai sebaik-baik peluang yang ada...jangan persiakan peluang yang mungkin ada dikalangan kita tidak memperolehinya...Hargai peluang yang mungkin hanya sekali dalam seumur hidup kita...

No comments:

Post a Comment