Assalamualaikum
Nak share kisah sesorang yang sangatsangat aku kagum...Naib Canselor UiTM, YBhg. Dato' Sri Sahol Hamid Abu Bakar..mungkin ada dikalangan kita yang mengenali beliau...khususnya warga UiTM itu sendiri...Tujuan aku share adalah sebagai motivasi untuk berjaya..khusus untuk diriku..
Aku copy cut paste dari FB beliau...
|
gambar tuan tanah wajib ada..ahakss |
|
Assalamualaikum wrbt. Salam sejahtera. Selalu
saya terima email atau pun soalan dlm FB dan twitter berkenaan latar
belakang saya dan bagaimana saya berjaya sampai menjadi Naib Canselor
dgn kelulusan dan kehormatan antarabangsa yg tertinggi, walaupun saya
asalnya dari keluarga yg miskin tegar. semasa kecil hanya makan sekali
sehari dan hidup serba kekurangan. Satu rencana
berkenaan ini pernah keluar dlm surat
khabar The Star dlm bahasa Inggeris. Disini saya sertahkan rencana itu
dlm Bahasa Malaysia. Panjang sedikit. Bacalah sehingga habis. Pelajar2
yg baru masuk jangan lupa membaca. Kalau ada apa2 soalan selepas itu
sila tanyalah dan saya akan jawab. Insyah Allah semangat yg saya ada itu
boleh mengalir kpd anak2 dan Insyah Allah anak2 pun boleh berjaya.
Dari seorang kanak-kanak jalanan yang nakal hingga ke menara gading
seterusnya menjawat jawatan tertinggi dalam pengurusan sebuah universiti
tersohor, itulah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, YBhg. Dato’
Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, FASc. Beliau telah ditakdirkan
Allah S.W.T. untuk berjaya. Daripada seorang insane kerdil, yang
dahulunya hidup dalam serba kepayahan dan terpaksa mengharungi pelbagai
liku kesempitan kehidupan, kini beliau telah menjadi bukti dalam lipatan
sejarah kerana berjaya meraih satu pencapaian yang tertinggi dalam
sebuah institusi pengajian tinggi. Pencapaian tertinggi ini bukan sahaja
untuk dirinya dan keluarganya malahan ia kejayaan dan kebanggaan untuk
seluruh masyarakat umum dan warga UiTM khususnya.
Beliau
berpegang kepada falsafah iaitu obstacles are power generators bermaksud
“Cabaran adalah penjana kuasa.” Sepanjang pengalaman yang lalu beliau
sentiasa diuji dan dicabar serta berdepan dengan pelbagai halangan.
Namun segala ujian dan kesukaran itu mampu ditangani dengan baik. Beliau
seorang yang berpegang kepada prinsip dan mempertahankan apa yang
beliau percaya. Sikapnya yang tegas dan berdedikasi telah meletakkan
UiTM sebagai sebuah universiti unggul bertaraf dunia.
Di antara
sumbangannya yang besar ialah mencetuskan idea inovasi dan seterusnya
mewujudkan peluang baru dalam program Mengubah Destini Anak Bangsa
(MDAB). Kejayaan program ini yang telah memberi peluang pendidikan
percuma kepada golongan miskin dan luar bandar dari kalangan masyarakat
Bumiputra adalah sesuatu yang memberangsangkan.
Sekiranya ibu
Dato’ Sri masih ada, beliau pasti akan berbangga dengan pencapaian
anaknya kini. Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, banyak pesanan ibu
yang membimbingnya hingga kini terutama ketika peristiwa dia dipukul
hingga berdarah bibirnya. Ibunya menjerit dalam dialek Pulau Pinang
siapakah yang mencederakannya? Dan jika beliau tidak bersalah, beliau
mesti bangun melawan kembali demi untuk mendapatkan hak kebenarannya.
Dengan pengalaman sebagai ibu yang gigih membesarkan sembilan orang
anak-anak, pastinya ibunya tidak akan membiarkan anak sulungnya asing
dari undang-undang kehidupan yang mencabar di luar. Padanya dalam
reality hidup ini hanya yang berjiwa kental akan berjaya.
Berbekalkan semangat waja ibunya yang sangat dikasihi, Dato’ Sri
terpaksa menghabiskan usia mudanya bekerja keras di jalanan untuk
menyara kehidupan diri dan keluarganya. Namun pengalaman itu dapat
dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Ia menjadi batu loncatan untuknya
sebagai street smart kid (kanak-kanak jalanan yang bijak) untuk beliau
mempelajari, mengetahui dan mengurus kehidupan dengan lebih baik.
Pengalaman sebagai pemandu pelancong kepada tentera Amerika yang
berkhidmat di Vietnam dan pelancong-pelancong asing lain membawa mereka
melawat tempat-tempat makan yang menarik, tempat bersejarah dan
mengenali budaya tempatan sekitar Pulau Pinang, telah banyak
meningkatkan kemahiran bahasa Inggerisnya.
Beliau telah
berkawan dengan kanak-kanak berbangsa Cina dan telah mempelajari Bahasa
Hokkien. Beliau juga meminati filem Hindustan dan sukan tinju Thai, Muay
Thai. Beliau meneruskan minatnya dan berlatih bersungguh-sungguh hingga
berjaya memenangi pertandingan tinju. Wang hasil dari kemenangan
diserahkan kepada ibunya.
Semasa bekerja sambilan di sebuah
kedai gunting rambut beliau bijak menggunakan masa lapang untuk membaca
majalah Readers Digest. Secara tidak langsung memperbaiki penguasaan
Bahasa Inggerisnya beliau.
Pada suatu hari, nasibnya telah
berubah. Seorang lelaki Melayu yang menyaksikan perlawanan tinju telah
memilihnya dan membantunya mengisi borang untuk memohon masuk ke
Institut Teknologi MARA (ITM). Di sinilah bermulanya perubahan nasib
beliau. Apabila menerima surat tawaran kursus Pra Diploma, ibunya tidak
mempunyai apa-apa walaupun sebuah beg untuk pakaian. Untuk menghantarnya
ke UiTM, ibunya terpaksa meminjam wang dan menggunakan pakaian yang
didermakan orang. Beliau melangkah kaki ke menara gading tanpa menyedari
inilah nasib yang telah ditentukan Allah S.W.T. Ianya menjadi detik
bersejarah yang akhirnya mengubah destininya selama-lamanya.
Kehidupannya sebagai seorang pelajar penuh rintangan dan tidak sama
seperti pelajar-pelajar lain. Beliau terpaksa bekerja di tapak pembinaan
untuk menyara pengajian dan menanggung adik-adiknya. Akhirnya beliau
gagal buat kali pertama.
Semasa pulang ke kampung dengan penuh
kesedihan dalam keretapi, beliau telah disapa oleh seorang lelaki
budiman yang lengkap berbaju melayu hitam dan bersongkok segak. Setelah
mendengar rintihan beliau, lelaki melayu itu bertanya empat soalan yang
memberi kesan yang mendalam dalam hidupnya.
Adakah kamu sembahyang?
Adakah kamu percaya kepada Tuhanmu?
Adakah kamu sayangkan ibumu?
Adakah kamu ingin membantu kanak-kanak miskin sepertimu, di masa hadapan?
Jawapan beliau adalah Ya kepada semua soalan yang telah diajukan.
Akhirnya keretapi sampai ke Bagan Serai. Melalui nasihat yang
diterimanya dari lelaki budiman itu, beliau memahami semua soalan-soalan
itu dan itu membuatnya terus bersemangat dan tidak menoleh ke belakang
lagi. Siapa sahaja yang diajukan pertanyaan sebegini akan berfikir
panjang untuk menghargai dan lebih memahami erti kehidupan ini.
Mengetahui kesungguhan dan masalah yang dihadapi, seorang pensyarah
Fiziknya yang berbangsa Cina bernama Miss Tan bersetuju menawarkan
bantuan kewangan untuk beliau meneruskan pengajiannya. Beliau
kemudiannya diberi peluang kedua yang istimewa, terpulang kepadanya
menggunakan dengan sebaik mungkin.
Menurut beliau, setiap PINTU
yang bertanda ‘PUSH’ merupakan satu peluang, ia adalah pintu kepada
segala kejayaan. Jika anda tidak membukanya bermakna anda tidak membuat
apa-apa untuk diri anda.
Dalam kalangan pelajar universiti hari
ini, beliau seorang yang mesra pelajar dan dikenali sebagai ayahanda di
laman sosialnya yang mencecah hampir 100,000 orang rakan Facebook.
Beliau sebenarnya seorang yang mudah didekati oleh golongan pelajar.
Beliau sedia menerima idea baru dan seorang pendengar yang baik kepada
semua masalah yang dihadapi pelajar.
Dalam usianya ini, beliau
amat aktif dan kekal bersemangat. Beliau juga amat bertuah kerana
mempunyai isteri yang penyayang iaitu Prof. Datin Sri Dr. Hanizah Abdul
Hamid, pensyarah fakulti kejuruteraan awam UiTM. Mereka dikurniakan tiga
orang anak perempuan.
Selain mempunyai PhD dalam bidang
Kejuruteraan Awam dari University Sussex, United Kingdom, beliau turut
memiliki dua sarjana serentak dalam Kejuruteraan Awam dan Ekonomi dari
Colorado State University di Amerika Syarikat. Pada tahun 2011,
Universiti Stuttgart, Jerman telah menganugerahkan beliau Ijazah Doktor
Kehormat.
“Destini telah mendorong saya ke jalan yang
betul.......selebihnya saya berusaha sedaya mungkin untuk mencorakkan
masa depan saya.”
Sebagai tokoh ternama yang berjawatan tinggi,
beliau tidak terkecuali untuk berdepan dengan pelbagai pihak. Beliau
tetap bertahan dan berpegang kepada prinsip yang betul. Ini adalah kesan
pengalaman hidupnya yang telah lama berjuang di gelanggang kehidupan
yang mencabar sebelum ini. Beliau turut memberi nasihat berpandukan
prinsip Muay Thai yang diminatinya bahawa seseorang pejuang itu tidak
akan berundur dari sesebuah gelanggang sehinggalah tamat perlawanan.
Beliau juga percaya golongan muda hari ini perlu mendengar dan menerima
nasihat yang baik dengan pendekatan yang betul, disamping mengamalkan
teknik pemikiran yang strategik.
Hakikatnya terdapat banyak kritikan
dan pertembungan pendapat dalam kerjayanya namun segalanya ditempuh
dengan semangat juangnya yang kental dan tidak mengenal erti kalah.
Sumber : THE STAR 18 Nov 2012